taotauajer.blogspot.com
TAOTAUAJER - KEMATIAN rakyat
Syria mencecah 200,000 orang dalam tempoh lebih dua tahun kebangkitan
rakyat ketika pemerintahan Presiden Bashar al-Assad dikatakan lebih
dahsyat berbanding kematian yang dicatat di Palestin ketika negara itu
ditawan Israel.
Kekejaman itu membuka mata banyak pihak sehinggakan tragedi Syria
bermandi darah mendapat perhatian ramai termasuk negara berkuasa besar,
Amerika Syarikat (AS) yang mengumumkan akan menyerang Syria berikutan
dakwaan penggunaan senjata kimia.
Walaupun AS masih berdolak-dalik dengan serangan itu, pelbagai andaian
mula timbul kerana terdapat dakwaan menyatakan Perang Dunia Ketiga akan
meletus daripada apa yang sedang berlaku di bumi anbiya itu. Tidak
kurang juga yang mengaitkan keadaan itu dengan petanda akhir zaman.
Ikuti temu bual wartawan Sinar Harian, NURULFATIHA MUAH dan jurufoto,
AZMI ARYANTO bersama pendakwah yang juga pengkaji isu Syria, Ustaz Nazmi
Karim.
Kejadian yang berlaku di Syria dikatakan antara petanda akhir zaman. Ada atau tidak nas yang boleh dikaitkan dengan andaian itu?
Petanda akhir zaman memang disebut dalam hadis Nabi Muhammad SAW.
Baginda berulang dua kali mengatakan bahawa akan berlaku peperangan
besar yang apabila peperangan ini terjadi, perkhemahan orang Islam
paling ramai adalah di sebuah tempat bernama Ghouta Dimashq yang
bermaksud kebun besar yang mengelilingi bandar Damsyik di Syria. Nabi
kata, di kebun besar ini ada sebuah bandar dikatakan namanya Damsyik,
sebaik-baik tempat tinggal umat Islam ketika itu. Ini tanda-tanda akhir
zaman. Kalau kita lihat di Syria sekarang ini, kawasan ini jadi tempat
paling ramai mujahidin berhimpun. Tempat lain ada ramai juga, tetapi
tempat ini yang disebut Rasulullah SAW.
Dalam sebuah hadis lain, Rasulullah bersabda;
“Tidak akan terjadi hari Kiamat sehingga kaum Rom turun di kota Amaq (Lembah Antioch, Selatan Turki) dan di Dabiq (dekat Aleppo, Syria). Kemudian datanglah suatu pasukan yang menghadang mereka dari Madinah, yang berasal dari penduduk pilihan bumi. Dan ketika mereka sudah berbaris-baris, maka berkatalah orang Rom, biarkanlah (jangan kalian halang) antara kami dengan orang-orang yang memisahkan diri dari kami (yang masuk Islam) untuk kami perangi. Maka kaum Muslimin berkata, Demi ALLAH, kami tidak akan membiarkan kamu memerangi saudara-saudara kami. Dan ketika mereka (Al-Mahdi serta para pengikutnya) telah sampai di Syam, keluarlah Dajjal. Dan ketika mereka sudah bersiap-siap untuk berperang, mereka berbaris dengan rapi. Tiba-tiba, ketika waktu solat sudah masuk, turunlah Nabi Isa Ibn Maryam a.s.” (Riwayat Muslim dari Sayidina Abu Hurairah RA).
Ketahui lebih mendalam lagi tentang Al Malhamah Al Kubra Perperangan Akhir Zaman 

Wallahua'lam, berdasarkan hadis itu, jika benar Amerika Syarikat serang
Syria, mereka akan masuk kawasan itu iaitu di pesisiran laut. Kalau
betullah ia berlaku, maknanya tentera Perjanjian Pakatan Atlantik Utara
(Nato) dan Rom ini akan masuk ikut ke pantai menyerang seluruh Syria.
Nabi kata, ALLAH akan menghantar tentera mujahidin dari bandar Damsyik
akan bergerak menuju ke Dabiq dan berlaku peperangan nanti di sana. Jadi
kebanyakan peperangan akhir zaman itu akan berlaku belah-belah negara
Syria dan Syam.
Kenapa tumpuan diberikan kepada negara di sebelah Syria?
Mungkin ada beberapa faktor. Dari segi kawasan, ia strategik dan
kedudukan geografi Syria menyambung hubungan darat antara Syria dengan
Eropah, Afrika dan Asia. Kedua, Nabi Isa AS akan turun di Syria
berdasarkan hadis Rasulullah SAW. Baginda bersabda Nabi Isa AS akan
turun di Menara Putih sebelah timur Kota Damsyik. Jika dilihat pada
gambarnya, ia bukan menara masjid, tetapi sebuah pasar lama di dalam
sebuah kota lama. Di sini ramai orang Kristian. Mereka juga sudah tahu
perkara ini dan bersiap-siap untuk sambut Nabi Isa AS. Sebab itu bumi
Syria jadi tumpuan ramai termasuk orang berfahaman Syiah, Kristian,
Yahudi, selain orang Islam sendiri. Turut menjadi tumpuan kerana Imam
Mahdi akan menyambut turunnya Nabi Isa AS di Damsyik seperti yang pernah
disebut dalam hadis Rasulullah bahawa Nabi Isa akan turun di Menara
Putih itu ketika solat Subuh dan disambut oleh Imam Mahdi.
Apa yang berlaku sebelum Imam Mahdi muncul?
Sebelum turun Imam Mahdi, Nabi Muhammad SAW kata, akan berlaku
pembunuhan tiga orang anak khalifah yang mana mereka berebut harta karun
di Kaabah, Mekah. Saya tidak pasti apa yang direbutkan itu, tetapi
ketiga-tiga mereka tidak berjaya. Maka berlakulah fitnah yang besar
antara orang Islam sendiri, sehingga muncullah Imam Mahdi.
Imam Mahdi adalah keturunan Nabi Muhammad SAW dan namanya sama seperti
nama nabi, Muhammad bin Abdullah. Beliau akan muncul di Makkah apabila
fitnah kuat melanda dan dibai’ah antara bucu Kaabah dengan makam Nabi
Ibrahim AS. Kemudian. Imam Mahdi akan mengetuai mujahidin bergerak ke
Syria. Apabila sampai di Syria, masa itu Dajjal sudah keluar dan memang
tujuan utamanya hendak melawan Dajjal. Apabila Nabi Isa AS turun, tugas
utama baginda ialah untuk membunuh Dajjal.
Pada masa itu, Dajjal sudah mengelilingi dunia untuk merosakkan orang
Islam dan mengkafirkan orang sehingga akhirnya Nabi Isa AS kejar Dajal
sampai di satu tempat bernama Bab Luddin di Palestin. Di situlah akan
dibunuhnya Dajjal. Dajjal apabila tengok Nabi Isa AS itu, dia jadi cair
macam batu garam yang disirami air.
Keadaan yang berlaku di Syria ketika ini, seolah-olah mengikut skrip iaitu hadis Nabi?
Ya, memang betul mengikut skrip. Nabi sebut akan berlaku peperangan
besar, sekarang ini berlaku perang di Syria. Ramai orang tak tahu
sebabnya. Kebangkitan di Syria berlaku pada Mac 2011. Puncanya
sekumpulan kanak-kanak sekolah rendah di sebuah bandar bernama Dar’a.
Kanak-kanak ini conteng dinding sekolah dengan perkataan 'Ash-sha’ab
yurid isqaat an-nizam' bermaksud ‘rakyat hendak jatuhkan kerajaan’.
Mereka tulis perkataan itu bukan sebab diajar, tetapi masa itu
berlakunya Arab Spring iaitu kebangkitan negara Arab di Tunisia, Yaman
dan Mesir. Apabila kebangkitan itu, semua negara ini tulis slogan yang
sama iaitu “Ash-sha’ab yurid isqaat an-nizam” ketika berdemonstrasi.
Kanak-kanak ini tidak tahu apa-apa.
Polis datang ke sekolah dan mengarahkan sekolah ditutup. Kanak-kanak
yang terlibat ditangkap, dipenjarakan dan diseksa. Antara seksaan yang
dikenakan ialah dicabut kuku mereka. Keluarga kanak-kanak ini datang ke
balai minta anak-anak mereka dibebaskan, tetapi polis kata: “Lupakan
anak engkau dan engkau buat yang lain. Ataupun engkau hantar bini engkau
di balai polis, kami akan buat bini engkau mengandung lagi sekali”.
Ayat ini yang saya dengar sendiri daripada orang Syria bercerita ketika
kes itu berlaku. Rentetan itu, orang kampung mula keluar berdemonstrasi
aman dan itu merupakan kali pertama rakyat Syria buat demonstrasi aman
minta anak dibebaskan. Sebelum ini, mereka memang tidak berani lawan
kerajaan langsung kerana kerajaan memang amat zalim.
Entah bagaimana, mereka yang berdemonstrasi aman ini pula akhirnya
ditembak anggota keselamatan. Ramai yang mati. Peristiwa ini tersebar ke
seluruh Syria. Kebetulan, masa itu di negara Arab yang lain sudah
berlaku kebangkitan. Rakyat Syria memang tidak fikir untuk lawan
kerajaan, tetapi mereka hanya hendak kanak-kanak yang ditahan itu
dibebaskan. Itu saja. Apabila sudah jadi begitu, mereka pun tidak tahan,
maka muncullah Tentera Pembebasan Syria (FSA) setelah enam bulan rakyat
Syria ditangkap, diseksa dan dibunuh. FSA merupakan sukarelawan rakyat
Syria yang hendak pertahankan maruah dan akidah mereka. Mereka yang mula
pertahankan keluarga sendiri daripada kerajaan pimpinan Bashar
al-Assad.
Persengketaan di Syria ada kaitan dengan Syiah - Sunni. Dan sebagaimana
penerangan Ustaz tadi, ia juga dikaitkan dengan kemunculan Dajjal.
Difahamkan, ada hadis menyebut bahawa Dajjal nanti akan diiringi oleh
orang Yahudi dari Isfahan, Iran. Apa maksud hadis itu?
Nabi bersabda, “Dajjal akan diikuti oleh 70,000 orang Yahudi dari kota
Isfahan, mereka memakai al-Tayalisah”. ini hadis riwayat Muslim.
Al-Tayalisah ialah sejenis selendang yang dipakai orang Iran atau Parsi
semasa hendak perang dan sembahyang.
Persoalannya kenapa Nabi kata Dajjal keluar di sebuah bandar di Iran,
tidak di Israel atau Amerika, Rusia atau China? Saya tidak pasti,
tetapi jika kita lihat di Iran, ada Syiah di sana. Apabila berlaku
kebangkitan rakyat di Syria, negara luar yang mula-mula campur tangan
ialah Iran. Masa campur tangan itu, mereka bukan hendak sokong rakyat
Syria, tetapi Iran hantar 10,000 tentera dengan penembak hendap.
Pada Mei 2012, saya bersama NGO Muslim Care hantar bantuan kali pertama
ke Syria dan kami bertemu dengan seorang ulama Syria di Turki, Sheikh
Muhammad Ali As-Sobuni. Beliau berkata; “Kami dulu menyangka Syiah ini
saudara kita, rupa-rupanya mereka adalah sebaliknya. Bahkan, Syiah ini
lebih ‘najis’ dan lebih dilaknat daripada Yahudi. Sebab bilangan orang
Islam yang dibunuh di Palestin pun tak sama (masih kurang) banding
dengan orang Islam yang dibunuh di Syria”. Di Syria yang mendapat
sokongan Syiah Iraq, Iran dan Hizbullah dari Lubnan, lebih 200,000
rakyat Syria sudah dibunuh sejak kebangkitan itu. Berbanding di
Palestin, hanya berpuluh ribu sahaja yang terbunuh sejak Israel tawan
negara itu. Melihat kepada perkara ini, kita pelik kenapa Syiah begini
dan benarlah Nabi kata Dajal akan keluar dari Isfahan, Iran.